Sejarah Silat Gayong Malaysia

Silat Seni Gayong dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis(cicit kepada Daeng Kuning/Panglima Hitam). Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.
Selama tiga tahun Meor Abdul Rahman berlatih bersama-sama dengan murid-murid Syed Zainal yang lain. Ketika berusia 18 tahun, Meor Abdul Rahman telah berjaya menguasai selok-belok ilmu Silat Seni Gayong, termasuklah adat-istiadatnya. Walaupun demikian, nenda beliau tidak dapat mengkhatamkannya kerana menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh “orang ghaib” di suatu tempat yang terletak di sempadan negeri Siam-Tanah Melayu.
Ketika beliau berusia 19 tahun, beliau telah dikhatamkan oleh “Datuk Laksamana Hang Tuah” di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu.
Meor Abdul Rahman telah digelar Rahman Sendo oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan dan kependekarannya di hadapan sultan dan pembesar-pembesar istana. Baginda Sultan juga telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehinggalah baginda Sultan mangkat pada tahun 1938.
Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah memperoleh pekerjaan di kem tentera British, iaitu di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di tempat kerjanya, Meor Abdul Rahman turut mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.
Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1942, Meor Abdul Rahman bersama-sama keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, beliau dan keluarganya akhirnya dibenarkan menumpang di pulau tersebut. Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula diperkenalkan semula, iaitu kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong, kerana pada zaman yang tiada undang-undang ketika itu, seni silat amat-amat diperlukan untuk mempertahankan maruah diri dan kaum keluarga.
Setelah Meor Abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman tentera Jepun, barulah Silat Seni Gayong diterima dan diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong.Setelah beberapa ketika berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang semula ke Taiping, Perak,
Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun(lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar lagi. Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi tentera Jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.
Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan kepolisian, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran mereka.
Pada tahun 1959, Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato’ Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang kuat gagasan Malayan Union. Dato’ Onn telah melamar untuk menjadi murid Gayong. Dato’ Onn telah mencadangkan agar Silat Seni Gayong ini didaftarkan agar menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Mulai tahun 1959, usaha-usaha telah dimulakan untuk mendaftarkan silat ini, dan akhirnya pada tahun 1963, Silat Seni Gayong telah didaftarkan dengan nama Pertubohan Silat Seni Gayong Malaya dengan nombor pendaftaran 361. PSSGM merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali didaftarkan di Malaysia. Selepas Gayong didaftarkan, perkembangannya menjadi lebih meluas. Dari Singapura, Gayong telah berkembang ke negeri Johor. Pada masa yang sama, Gayong telah dikembangkan di utara tanah air atas daya usaha Meor Abdul Aziz, abang kepada Meor Abdul Rahman,dan jurulatih-jurulatih yang didatangkan khas dari Singapura. Tengku laksamana Kedah, Tunku Kassim, atas titah Sultan Badlishah Kedah telah mengundang Silat Seni Gayong Singapura agar mengadakan persembahan silat di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid di Alor Setar pada tahun 1957.

No comments:

Post a Comment